SHKODËR, 10 Okt – Antonio Candreva menjulang Itali kepada kemenangan 1-0 ke atas Albania dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi, memastikan Azzurri menjadi pilihan utama bagi perlawanan play-off bulan November nanti.
Pasukan kendalian Gian Piero Ventura sudah mara ke play-off bulan depan, tetapi terdesak untuk memerlukan kemenangan di Shkoder bagi memastikan status pasukan utama dalam undian yang bakal berlangsung pada 17 Oktober ini.
“Ini adalah objektif yang kami tetapkan. Saya fikir kami telah mengambil satu lagi langkah ke depan, tetapi kami gagal mengawal perlawanan dan kerap melepaskan bola,” kata Ventura.
Selepas separuh masa pertama yang sengit, pemain sayap Inter Milan, Candreva memecahkan kebuntuan selepas minit ke-73 di Stadium Loro Borici.
Pemain tengah Atalanta, Leonardo Spinazzola membuat hantaran lintang dari sebelah kiri yang menemui Candreva, yang menyudahkan gol dari jarak dekat bagi menandakan penampilan ke-50 peribadinya bersama Azzurri.
Dihantui dengan kekalahan bulan lepas di Madrid kepada Sepanyol, Ventura berada di bawah tekanan selepas satu keputusan seri menentang Macedonia minggu lepas di Turin.
“Kami mahu membuktikan diri kami selepas perlawanan menentang Macedonia (1-1),” kata Candreva.
“Kemenangan tidak boleh dipandang mudah. Kami sudah berbincang dan sedar bahawa kami perlu kembali bersatu dan bersedia bagi persaingan play-off.
“Kami perlu semangat pengorbanan, rendah diri dan watak Itali yang mewakili kami.”
Juara dunia sebanyak empat kali itu menamatkan di kedudukan kedua Kumpulan G di belakang Sepanyol, yang menempah tiket mereka ke Rusia sebagai pemenang kumpulan, dengan Itali perlu mengharungi play-off yang bakal berlangsung pada 9 November dan 14 November sebagai salah sebuah daripada lapan pasukan terbaik di kedudukan kedua. – AFP