ROM, 12 SEPT – Itali dan Turkiye kelmarin, telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani migrasi haram, terutamanya dari Libya, kata menteri luar kedua-dua negara.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani dan rakan sejawatannya dari Turkiye, Hakan Fidan, telah menandatangani sebuah ‘dokumen operasi’ yang menyediakan kerjasama lebih rapat antara pengawal pantai mereka bagi memerangi penyeludupan manusia dan jenayah terancang rentas negara, kata Tajani pada sidang media di Rom.
“Perjanjian itu akan menjadi bukti sangat berguna di Libya, terutamanya dalam mencegah kemasukan” migran haram ke Eropah, katanya. Libya merupakan negara transit penting bagi ribuan migran yang berusaha mencapai Eropah melalui laut setiap tahun.
“Kami akan bekerjasama untuk melatih agensi penguatkuasaan undang-undang bagi membongkar rangkaian jenayah di Mediterranean,” kata Tajani.
Fidan pula berkata, beliau bertekad untuk “mengukuhkan perkongsian strategik” antara Itali dan Turkiye, sambil menekankan keperluan untuk bergerak ke arah proses politik di Libya bagi menjamin ‘stabiliti’.
“Kedua-dua negara kita mempunyai kepentingan dalam kestabilan Libya,” tambah Tajani.
Pada bulan Ogos, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menganjurkan sidang kemuncak mini di Istanbul mengenai migrasi dan kestabilan di Libya, yang dihadiri oleh Perdana Menteri Itali, Georgia Meloni dan pemimpin Libya, Abdelhamid Dbeiba.
Itali sudah menjadi anggota kepada perjanjian EU-Turkiye 2016 dalam menangani migrasi haram.
Perjanjian kontroversi antara Brussels dan Ankara itu turut menyaksikan EU membayar berbilion euro kepada Ankara sebagai pertukaran bagi Turkiye menerima kembali migran tidak sah yang tiba di Eropah. – AFP


