Itali waspada ancaman Teemu

TAMPERE, FINLAND, 8 SEPT – Jorginho berkata hari ini bahawa penyerang sensasi Finland Teemu Pukki akan menjadi senjata ampuh tuan rumah ketika Itali berhasrat mempertahankan permulaan sempurna pada aksi kelayakan Euro 2020 di Tampere.

Penyerang Norwich City Pukki menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris dan pemain berusia 29 tahun itu turut meledak empat daripada tujuh gol pasukan negaranya, termasuk gol kemenangan ke atas Greece awal pagi Jumaat ketika Finland mengintai di belakang pendahulu Kumpulan J, Itali. Skuad Azzurri kendalian Roberto Mancini mengumpul 15 mata maksimum, tiga mata berbanding pasukan tuan rumah itu selepas menang kelima-lima perlawanan, menjaringkan 16 gol dan bolos dua kali.

“Dia pemain paling penting buat mereka tetapi kami perlu risaukan semua pemain, bukan dia saja,” kata pemain tengah Itali Jorginho yang juga beraksi bersama kelab England, Chelsea.

“Teemu mempunyai segala-galanya yang menjadikannya penyerang sempurna. Dia berlari pada masa yang tepat, tahu bagaimana kedudukannya dalam permainan, berlari pantas, mengasak lawan dan tidak pernah berhenti bergerak. – AFP