Thursday, February 13, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ITF, HM FC muncul juara

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Pasukan ITF muncul juara Cabaran Bola Sepak Antarabangsa 7-Sepasukan Brunei Kali Ke-8 2017 setelah menewaskan pesaing sengitnya Al-Idrus 4-0 hari ini.

    Sementara itu dalam Kategori Grand Master pula menyaksikan HM FC dari Johor Darul Takzim, Malaysia dinobatkan sebagai juara kategori berkenaan selepas menumpaskan PSJD dengan jaringan 3-0.

    Dalam acara Plate Kategori Veteran, Riwayat FC menyandang gelaran juara setelah berjaya membenam Pasukan SM FC dalam satu perlawanan sengit yang berakhir dengan jaringan 1-0, manakala bagi Kategori Grand Master pula dimenangi oleh Pasukan Stoneville FC yang menumpaskan Pasukan SM FC dengan jaringan 4-2.

    Kejohanan tersebut bermula hari ini dan 5 Nov 2017, yang mana semua perlawanan berlangsung di Kompleks Sukan Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada barisan pemenang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Pasukan ITF menjulang trofi kemenangan buat kali ketiga pada edisi kali ini setelah menewaskan Al-Idrus.
    Pasukan HM FC ketika bergambar ramai setelah menerima hadiah selepas memenangi Kategori Grand Master.

    Selepas perlawanan hari ini, Pengurus dan pemilik Pasukan ITF, Haji Abdul Rahman Haji Ali menyatakan perasaan berbesar hatinya melihat kejayaan pasukannya menjulang piala kejohanan tersebut buat kali ketiga setelah kali pertama memenangi kejohanan pada tahun 2013, diikuti pada 2015 dan penyertaan kali ini adalah edisi ketujuh bagi Pasukan ITF.

    Sementara itu kapten HM FC, Mohd Norzaidin Mohd Noor berkata: “Kami berharap VFA akan terus proaktif mempromosikan kejohanan ini kerana ia merupakan platform pembangunan bola sepak veteran yang sangat sihat dan berpotensi untuk dikembangkan jika terdapat lebih banyak penyertaan,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, mereka sudah membuat persiapan awal dan turun ke Brunei Darussalam adalah misi besar bagi pasukan itu. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak HM FC, penaja dan penganjur serta kepada semua pasukan yang menyertai kejohanan kerana menunjukkan daya saing yang sangat dipuji.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda