Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Seramai 471 pelajar bersama 53 orang pengawas dari beberapa buah sekolah rendah kerajaan, swasta dan sekolah Arab menghadiri Hari Terbuka Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Blok Asrama ITQSHHB hari ini.
Hari terbuka selama dua hari bermula pukul 8:15 pagi hingga 11:30 pagi itu diadakan bersempena pengambilan pelajar baharu peringkat menengah Tahun 7 bagi sesi pengajian 1447H/2026M.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Turut hadir, timbalan-timbalan pengetua institut, para pegawai, pengetua dan guru besar sekolah Arab, guru-guru serta rombongan pelajar sekolah jemputan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Awang Mohd Shah Abdul Afandi bin Muhd Sahari dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengetua ITQSHHB, Awang Zul Husni bin Haji Sulaiman.
Acara seterusnya diikuti dengan lawatan tetamu kehormat ke petak-petak pameran, aktiviti di musolla dan perpustakaan, serta jualan mini bazar di perkarangan institut.
Sesi pagi turut menyaksikan kehadiran 251 pelajar dan 31 pengawas dari dua buah Sekolah Arab dan 10 buah sekolah rendah kerajaan serta swasta.
Manakala sesi petang pula melibatkan 220 pelajar dan 22 pengawas dari tiga buah sekolah Arab dan 10 buah sekolah rendah kerajaan.
Hari terbuka ini diadakan dengan tujuan untuk memperkenalkan ITQSHHB kepada orang awam sebagai sebuah pusat pengajian Al-Quran yang bukan sahaja melahirkan huffaz Al-Quran, tetapi juga pelajar yang berpotensi dalam bidang pengajian Islam, sains dan teknologi.
Borang permohonan pengambilan pelajar baharu masih dibuka sehingga 2 Ogos.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan ke pendaftaranitqshhb.my.canva.site
Bagi pemohon yang memerlukan bantuan, pihak ITQSHHB menyediakan khidmat pengisian borang secara fizikal di Blok Pentadbiran ITQSHHB, Simpang 175, Km 2, Bandar Seri Begawan, bermula 8 hingga 31 Julai dari 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Para pemohon dikehendaki membawa dokumen berkaitan seperti yang disenaraikan dalam borang pendaftaran.