Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ITQSHHB buka tawaran pengambilan pelajar baharu

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bakal membukakan tawaran Pengambilan Siswa Siswi Baharu bagi Program Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat, ITQSHHB bagi Sesi Pengajian 2024-2027 bermula 11 Januari hingga 22 Februari.

    Tawaran tersebut dibukakan kepada semua warga dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam.

    Antara syaratnya, pemohon hendaklah memperolehi kredit bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Peperiksaan Sijil Am Pelajaran Brunei Peringkat Biasa Cambridge (GCE O Level), memperolehi sekurang-kurangnya empat Jayyid (kepujian) dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) termasuk pangkat kepujian dalam dua mata pelajaran teras iaitu Al-Quran dan Bahasa Arab atau pangkat kepujian dalam dua mata pelajaran wajib iaitu Tafsir/Hadith/Fiqh/Tauhid/Tarikh dan yang sebanding dengannya atau sekurang-kurangnya empat kredit dalam Peperiksaan GCE O Level atau Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE Level) atau yang sebanding dengannya termasuk kredit C6 dalam mata pelajaran Bahasa Arab.

    Selain itu, pemohon yang telah hafaz sekurang-kurangnya 10 juzuk Al-Quran adalah satu kelebihan, lulus temu duga kemasukan Diploma ‘Aliyah Qiraat dan mempunyai akuan kesihatan dari pusat kesihatan kerajaan yang diiktiraf.

    Bagi yang bukan rakyat Negara Brunei Darussalam (ibu atau bapa bertugas di jabatan-jabatan kerajaan atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan di Negara Brunei Darussalam) yang berminat dan berkelayakan, bolehlah memohon dengan membuat surat permohonan khas kepada Pengerusi Lembaga ITQSHHB melalui pengetua institut.

    Borang permohonan boleh diperoleh di pejabat ITQSHHB, simpang 175, KM 2, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Bandar Seri Begawan pada waktu pejabat dibuka, ataupun dimuat turun dari laman sesawang rasmi KHEU, www.kheu.gov.bn

    Tarikh tutup mengembalikan borang pada 22 Februari, pukul 4 petang dan bagi sebarang keterangan lanjut bolehlah menghubungi Pegawai Bahagian Pendaftaran Siswa Siswi dan Ketua Unit Pengambilan (Hal Ehwal Siswa Siswi) Pengajian Tinggi Diploma ‘Aliyah Qiraat, ITQSHHB iaitu Pengiran Siti Norhamdiah binti Pengiran Metassan di talian 7165945.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda