Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) pagi tadi meraikan seramai 88 orang pelajar iaitu 40 pelajar lelaki dan 48 pelajar perempuan pada Majlis Khatam Hafaz 30 Juz’ Al-Quran yang berlangsung di Musolla institut berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), pengetua dan timbalan-timbalan pengetua, para pegawai, pensyarah dan guru-guru ITQSHHB serta ibu bapa para pelajar yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, sebelum diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas dipimpin oleh Awang Abdurrahman bin Haji Mohd Azmi dan disusuli dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Muhammad Faiz Najwan bin Mohd Saleh.
Acara diteruskan lagi dengan penyampaian sijil khatam kepada para peserta khatam.
Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan oleh Awang Muhammad Zulhelmi Hashim bin Jainuddin.