Itu gambar lama baru ‘upload’

Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri menafikan dakwaan beliau melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila memuat naik gambar percutian bersama anak-anak seperti yang tular di media sosial.

Penyanyi lagu Bobo Di Mana itu mendakwa, entri yang dimuat naik semalam adalah gambar lama dan dirakam sebelum PKP bermula.

“Saya tidak faham kenapa warganet suka sangat mencari kesalahan saya? Itu adalah gambar lama ketika kami berada di sebuah resort di Janda Baik, Pahang. Baru sekarang saya sempat berkongsi di Instagram (IG).

“Resort itu sangat besar, jadi ada banyak lokasi menarik yang boleh saya abadikan dalam foto. Takkanlah setiap gambar yang ingin dikongsi perlu ada penjelasan bila dirakam.

“Warganet hendak apa sebenarnya? Semua yang saya buat, tidak kena di mata mereka. Agaknya mereka suka melihat saya sedih, meratap hiba mengenang nasib diri berikutan arahan PKP,” katanya.

Entri yang memaparkan dia sedang makan bersama-sama anaknya itu mendapat komen negatif warganet. Rata-rata warganet mempersoalkan bagaimana Aliff bebas bersantai ketika negara menguatkuasakan PKP.

Kekeliruan juga timbul apabila Aliff meletakkan perkataan ‘hari ini’ pada keterangan gambar. Ada juga yang mendakwa tindakan itu seakan sengaja ‘memancing’ emosi warganet.

Aliff turut meluahkan rasa kesal dengan dakwaan dia tidak sensitif apabila berkongsi video memaparkan dirinya sedang merakamkan lagu Hari Raya.

Dakwanya, video itu dirakam tahun lalu. – Agensi

Aliff mendakwa foto dimuat naik di IG dirakam sebelum PKP dilaksanakan. – Agensi