Penyanyi dan pelakon, Marsha Milan, 38, mengakui kurang selesa apabila video kediaman keluarganya menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi netizen, baru-baru ini.
Menyifatkan kediaman adalah perkara peribadi, Marsha berkata, ia tidak seharusya menjadi tontonan meskipun pihak yang merakamkannya tidak mempunyai apa-apa maksud.
“Sebenarnya, saya tak berapa senang, kediaman adalah privasi. Saya tak mahu dianggap cuba menunjuk-nunjuk atau nak pamerkan sudut mewah.
“Takutlah nanti jadi apa-apa. Lagipun, itu adalah kediaman keluarga dan bukannya rumah saya sendiri. Saya sedar berita ini tular, tapi saya tak nak ambil tahu atau baca,” katanya kepada BH Online.
Marsha mengulas video berdurasi satu minit memaparkan kemewahan kediaman yang didakwa miliknya.
Berikutan insiden itu, pelakon filem Rahsia itu memberitahu, dia akan lebih berhati-hati jika ada pihak yang mahu membuat rakaman membabitkan persekitaran kediamannya.
“Suami pun ada berpesan, kalau boleh janganlah ada yang rakam video di kawasan atas. Kalau bahagian dapur bolehlah.
“Saya akui belajar sesuatu daripada kejadian ini, tidak semua benda kita boleh rakam.
“Saya tidaklah marah sebab rakan yang rakam, tetapi saya sudah minta padamkan hantaran berkenaan,” ujar Marsha ditemui pada sesi Met & Greet AJL Paling Ikonik di Pasar Seni, semalam.
Sementara itu, berkongsi pengalaman tinggal sebumbung dengan ibu mentua sejak mendirikan rumah tangga pada 2015, penyanyi lagu Cinta itu mengakui, dia tidak menghadapi masalah dan selesa. – Agensi


