“Susah kalau berlakon di bawah arahan sutradara yang feeling lebih. Sampai set penggambaran sahaja, sudah ada perasaan tidak seronok.”
Itu pendedahan pelakon asal Malaysia, Nora Danish yang mengaku serik berlakon di bawah arahan seorang sutradara yang juga pelakon sebelum ini.
Jelas Nora, sikap pengarah tersebut yang over the top dan perasan bagus memberikan perasaan tidak seronok serta menghilangkan rasa teruja untuk berlakon di bawah arahannya.
“Ini cerita dulu-dulu, lama sudah berlaku. Tetapi saya pernah sampai sahaja di set dan terus dapat rasa vibes yang tidak seronok. Pengalaman yang berbezalah.
“Cuma untuk berlakon di bawah arahan dia lagi, memang tidak. Itu naskhah pertama dan terakhir saya. Dia bukan marah-marah tetapi cara dia itu, over the top. Feeling.

“Siapa? Biarlah rahsia. Cuma tak ramai pelakon yang boleh bergelar pengarah. Dua dunia berbeza. Itu satu pengalaman yang saya anggap mematangkan diri sendiri,” ujarnya menurut laporan Utusan Malaysia.
Pelakon cantik itu ditemui ketika tayangan perdana filem Sayu Yang Syukur yang dibintangi bersama Datuk Aaron Aziz, Kismah Johari, Arja Lee dan ramai lagi.
Filem yang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam itu merupakan filem pertama arahan Aaron lapan tahun lalu.
Sementara itu, berkongsi pengalaman bekerja dengan pelakon dan juga pengarah, Aaron, Nora mengakui aktor tersebut agak cerewet namun tidak menyukarkan rakan pelakon lain untuk berlakon sama.
“Dia cerewet, tetapi sebab dia mahu beri yang terbaik. Tetapi bagusnya Aaron, dia sangat teliti dan mengambil berat kru produksi termasuk pelakon. Cakap pun lembut sahaja.
“Kalau dia ada sudut pandang berbeza bagaimana sesebuah babak itu, dia akan jelaskan kepada kita untuk faham visinya. Saya seronok berlakon di bawah arahan Aaron. Dia pengarah yang baik,” kongsinya. – Agensi