Penyanyi dan pelakon, IU tidak berminat mewarisi harta pusaka milik ibu bapanya jika mereka ditakdirkan meninggal dunia suatu hari nanti.
Cerita IU atau Lee Ji Eun, 32, dia meminta bapanya mengecualikan namanya daripada wasiat dan menyerahkan semua harta kepada tiga adik-beradiknya yang lain, menurut laporan mStar.
“Saya bertanya bagaimana ibu dan bapa akan membahagikan harta pusaka, dan ayah memberitahu akan membahagikannya sama rata di antara kami empat beradik.
“Saya minta dikecualikan dan bahagikan kepada tiga adik-beradik lain tanpa bahagian saya,” katanya.
IU berkongsi perkara itu ketika menjadi tetamu untuk program Salon Drip 2 yang ditayangkan di YouTube TEO pada Selasa.
Jelas IU, dia juga sudah terbiasa hidup berdikari dan kewangannya dimilikinya ketika ini juga sudah mencukupi.
“Saya sudah biasa hidup berdikari, terutama dari sudut kewangan,” jelasnya. – Agensi
