Penyanyi dan pelakon terkenal, IU, sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila memberikan hadiah istimewa sempena sambutan Chuseok tahun ini.
Seorang kru produksi drama baharu MBC bertajuk 21st Century Grand Prince’s Wife mendedahkan dalam satu hantaran di komuniti dalam talian bahawa, “Senior IU memberikan baucar hadiah bernilai 500,000 won (kira-kira AS$375) kepada semua kru produksi.”
Beberapa foto yang dikongsikan menunjukkan baucar hadiah tersebut yang diberikan oleh IU kepada seluruh pasukan drama menjelang cuti perayaan itu.
Menurut Allkpop, tindakan murah hati IU bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini, beliau pernah menghadiahkan AirPods Max kepada semua kru drama Netflix, When Life Gives You Tangerines.
Malah, selepas jelajah dunia beliau tahun lalu, IU turut mengejutkan pasukan kerjanya dengan menaik taraf tiket penerbangan pulang mereka ke kelas perniagaan bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa ke Korea.
Drama 21st Century Grand Prince’s Wife mengisahkan kisah cinta dalam latar Korea Selatan versi monarki berperlembagaan abad ke-21 antara Seong Hee Joo, wanita kelahiran keluarga chaebol yang berstatus rakyat biasa dan Lee An, seorang putera berdarah diraja yang tidak mampu memiliki apa-apa walaupun bergelar bangsawan.
IU bergandingan dengan pelakon Byeon Woo Seok dalam drama tersebut, yang kini menarik perhatian ramai penonton menjelang tayangannya. – Agensi


