Penyanyi Korea, IU sekali lagi menunjukkan sifat dermawannya dengan menghulurkan derma sempena Hari Kanak-kanak 2025.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi penyanyi itu, EDAM Entertainment mengongsikan, “Bagi memperingati Hari Kanak-Kanak, IU telah menyumbangkan sejumlah 150 juta KRW atas nama ‘IUaena’ (gabungan IU dan Uaena, nama kelab peminatnya).”
Sumbangan itu bertujuan untuk menyokong belia yang sedang bersedia untuk berdikari serta memperbaiki keadaan hidup kanak-kanak kelainan upaya.
Secara khusus, sebanyak 62 juta KRW disalurkan kepada Eden I Ville, manakala 90 juta KRW diberikan kepada Perkampungan Hansarang dan Pusat Jagaan Anak Damit Hansarang untuk Kanak-Kanak Kelainan Upaya. Dana untuk Eden I Ville akan digunakan bagi membina ruang selamat untuk remaja berdikari serta menyediakan hadiah dan aktiviti Hari Kanak-Kanak.
Menurut Allkpop, sumbangan kepada institusi Hansarang pula akan digunakan untuk menggantikan dandang lama, menampung kos perubatan dan pemulihan, serta menyediakan hadiah kepada kanak-kanak bagi memperbaiki kehidupan harian mereka.
Sejak debut pada tahun 2008, IU secara konsisten telah membuat sumbangan sempena acara bermakna seperti ulang tahun debut, hari lahir dan musim cuti akhir tahun, kesemua sumbangan itu atas nama IUaena.
Pada 2019, dia dinamakan sebagai individu termuda dalam senarai Heroes of Philanthropy oleh Forbes Asia.
Pada Mac lalu, IU turut menyumbang 200 juta KRW bagi membantu pemulihan akibat kebakaran hutan di wilayah Gyeongsang dan meningkatkan keadaan kerja anggota bomba. – Agensi
