Gara-gara tidak fasih berbahasa Inggeris, penyanyi IU mendedahkan dia terpaksa menolak untuk bekerjasama dengan beberapa artis antarabangsa.
Menurut IU atau Lee Ji Eun, 31, dia berasa takut dan kurang berkeyakinan untuk bertutur dalam bahasa asing.
“Saya telah menerima banyak tawaran hebat pada masa lalu, tetapi saya menolak peluang itu.
“Saya berasa agak takut untuk bekerjasama dengan artis yang bercakap bahasa yang berbeza,” katanya.
IU berkongsi perkara itu semasa sesi temu bual bersama Billboard baru-baru ini.
IU bagaimanapun berkata dia mula mengubah persepsi itu dan bersedia menyahut cabaran mempelajari bahasa asing demi meluaskan karier seninya.
Malah, dia kini lebih bersemangat untuk bekerjasama dengan artis antarabangsa.
“Tetapi sekarang saya tidak berfikir begitu lagi. Saya kini lebih terbuka untuk bekerja dengan artis global. Sila hubungi saya,” ujarnya. – Agensi