LOS ANGELES, 29 OGOS – Ilya Ivashka mencipta nama sebagai pemain Belarus pertama sejak 2003 memenangi gelaran ATP, menewaskan lawannya dari Sweden, Mikael Ymer, 6-0, 6-2 kelmarin pada aksi akhir Terbuka Winston-Salem.
Ivashka, 27, tercicir hanya dua mata semasa pukulan servis, memerlukan hanya 55 minit untuk memenangi perlawanan final paling singkat pada musim ini dan merangkul gelaran ATP pertama.
“Minggu yang bagaikan mimpi. Kejohanan yang luar biasa,” kata pemain ranking dunia ke-63, Ivashka. “Saya menunggu saat ini terlalu lama.”
Pemain Belarus terakhir memenangi gelaran ATP adalah Max Mirnyi pada 2003 di Rotterdam. Ivashka membuat empat pukulan ace dan mata pukulan servis pertama sempurna 18 daripada 18 pukulan di kejohanan final lelaki, di acara pemanas badan sebelum Terbuka AS yang bermula pada Isnin di New York.
Dia meraih mata kejohanan kedua apabila pemain Sweden itu membuat pukulan mengenai jaring di kemudahan tenis Universiti Wake Forest di Winston-Salem, North California.
Aksi final paling singkat pada musim ini sebelum ini adalah semasa kemenangan Stefanos Tsitsipas, 6-3, 6-3 ke atas Cameron Norrie di Lyon pada Mei yang berakhir selepas 69 minit.
“Minggu ini saya memiliki segalanya,” kata Ivashka. “Di pusingan kedua, saya menempah tiket penerbangan ke New York. Saya ketinggalan hanya dua mata selepas tewas dan kini saya berdiri di sini. ia adalah sesuatu yang hebat bagaimana perkara boleh berubah dalam hanya satu perlawanan.” Dia tewas hanya satu set di Winston-Salem untuk menjadi pemenang sulung kelapan di Jelajah ATP pada musim ini.
Ymer, pemain finalis Sweden pertama dalam masa lebih satu dekad, dilihat hilang arah kelmarin. Dia melakukan 37 kecuaian dan tiga kecuaian berganda semasa aksi final tersebut.– AFP
