JOHANNESBURG, 31 JAN – Pegawai kastam di lapangan terbang antarabangsa Afrika Selatan merampas ribuan tablet ubat yang kononnya didakwa menjadi ubat melawan koronavirus.
Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) mengatakan dalam satu kenyataan bahawa tablet yang disyaki Ivermectin bernilai 6 juta Rand disita di Lapangan Terbang Antarabangsa Johannesburg OR Tambo dalam tempoh dua minggu ini.
Enam suspek ditahan dan didakwa membawa dan mengimport ubat tidak berdaftar tanpa lesen, kata kenyataan itu.
“Ubat tidak berdaftar ini, terutama dalam bentuk tablet dipercayai diimport bagi tujuan jualan dan digunakan untuk rawatan virus COVID-19.
Ivermectin adalah agen anti-parasit yang didakwa kononnya sebagai penawar yang berpotensi untuk rawatan koronavirus.
Permintaan untuk ubat ini meningkat walaupun para saintis menegaskan belum ada bukti yang cukup untuk mempromosikannya sebagai ubat penawar COVID-19.
Ivermectin pada lazimnya digunakan untuk membunuh parasit seperti kutu kepala pada binatang dan manusia, dan telah disebarkan secara meluas disub-Sahara Afrika sejak tahun 1990an untuk merawat Onkoserkiasis atau buta sungai disebabkan oleh jangkitan cacing parasit. – AFP
