ABIDJAN, 6 JUN – Ivory Coast kelmarin mengisytiharkan berlakunya wabak kolera dengan mengesahkan tujuh kematian akibat penyakit tersebut.
Ketua Institut Kebersihan Awam Kebangsaan, Daniel Kouadio Ekra, mengesahkan wabak itu, dengan menyatakan bahawa analisis sampel najis yang dijalankan oleh Institut Pasteur Côte d’Ivoire mengesan kehadiran ‘vibrio kolera’.
“Pada 25 Mei 2025, daerah kesihatan Port-Bouët-Vridi melaporkan lima kematian di perkampungan Vridi Akobrate,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 45 kes telah direkodkan di Vridi Akobrate, di pinggir ibu kota Abidjan, termasuk tujuh kematian. Semua kematian berlaku dalam kalangan komuniti dalam tempoh dua hari pertama.
Ivory Coast telah mengalami beberapa wabak besar kolera sejak tahun 1990an.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan kolera sebagai penyakit kemiskinan, kerana ia mudah merebak di kawasan yang mempunyai sanitasi yang buruk dan kekurangan air bersih. Afrika mencatatkan jumlah kematian lapan kali ganda lebih tinggi tahun ini berbanding Timur Tengah, wilayah kedua paling terjejas.
Menurut pakar kesihatan, benua Afrika yang secara sejarahnya terdedah kepada penyakit ini, kini semakin berisiko berikutan kesan perubahan iklim yang paling teruk, serta fenomena cuaca El Nino.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan dengan kekurangan vaksin kolera secara global, yang hanya diperlukan di negara-negara miskin. – AP
