Monday, March 10, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    IWCB sambut Hari Wanita Antarabangsa

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Kelab Wanita Antarabangsa Brunei (IWCB), telah menghoskan Sesi Perbualan bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat (AS) ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryln McClelland yang diadakan di Swensens Mall Gadong, baru-baru ini.

    Dengan tema Mempercepatkan Tindakan, tetamu yang hadir pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa berpeluang untuk berkongsi perbualan dengan PYT Caryln McClelland.

    Di acara itu, Puan Yang Terutama telah berkongsi pencapaian beliau setelah menjadi Duta AS dan latar belakangnya dengan tetamu yang hadir.

    Antara tetamu yang hadir terdiri daripada kalangan ketua-ketua dan timbalan ketua misi serta pasangan ketua misi.

    Ia bermula dengan pembacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan yang mengalu-alukan oleh Pegawai Perhubungan Awam, Haji Mahanum Abu Zar, dan diikuti dengan ucapan Presiden IWCB, Unku Datin Fanzah, yang antara lain mengucapkan terima kasih kepada para duta, ketua-ketua misi, pasangan misi dan tetamu hadir atas sokongan berterusan mereka.

    Hari Wanita Antarabangsa jatuh pada 8 Mac setiap tahun, dengan tema tahun ini Mempercepatkan Tindakan, yang memerlukan peningkatan momentum dan mendesak dalam menangani halangan sistemik dan bias yang dihadapi wanita, baik dalam bidang peribadi dan profesional.

    Majlis sambutan tersebut diselajurkan dengan iftar bersama tetamu yang hadir.

    PTY Caryln McClelland menyampaikan ucaptama pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda