Sunday, June 30, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Izam EYE sumbang pendapatan kepada sekolah tahfiz

    Vokalis kumpulan EYE iaitu Izam yang menyedari banyak kejahilan dan kesilapan dilakukan sepanjang bergelar artis, akan menyumbangkan sebahagian pendapatannya kepada sebuah sekolah tahfiz di Kedah.

    Memetik laporan mStar, Izam atau Mohd Izam Mohd Arshad, 57, berkata, perkara itu dijadikan amalan bukan sahaja bagi mendapat keberkatan pendapatan tetapi mahu mengejar reda dan pahala dari Allah S.W.T.

    “Saya sudah bergelumang dalam bidang hiburan ini sudah lama, dengan zaman ‘jahil’ lagi.

    “Apabila Allah bagi hidayah, saya dapat satu peluang untuk memperbaiki diri selain mengejar reda dan pahala-Nya.

    “Bayangkan satu huruf anak-anak tahfiz baca Al-Quran, boleh dapat 10 pahala.

    “Kalau mereka hafal seluruh kitab, berapa banyak pahala yang dapat. Mereka juga buat solat Tahajud, doakan kita,” katanya kepada mStar.

    Izam berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin di Menara KPJ, Kuala Lumpur pada Selasa.

    Dalam pada itu, Izam memberitahu walaupun beliau diuji dengan masalah kesihatan namun bersyukur kerana masih ada pihak memberikan tawaran mengadakan persembahan pentas.

    Malah kata Izam, beliau juga menerima bayaran setimpal bersesuaian untuk menampung kehidupan bersama dua isteri dan tujuh anak-anak mereka.

    “Alhamdulillah ada masanya dalam seminggu boleh dapat empat ke lima tawaran persembahan dan kebiasaannya rate saya tiga lagu dalam RM5,000 ke RM6,000.

    “Penganjur masih mengikut rate diberikan dan kalau tiada persembahan biasanya saya hanya berehat di rumah,” jelasnya.

    Jelas Izam, beliau enggan menjadikan penyakit dihidapi sebagai alasan untuk tidak bekerja dan mengharapkan bantuan orang lain.

    Katanya, selagi beliau mempunyai kudrat, beliau akan terus bekerja demi keluarganya.

    “Ini cara saya tanggung keluarga. Saya ada dua isteri, tujuh orang anak… Dua buah rumah perlu dibayar setiap bulan.

    “Tanggungan saya besar, jadi tak elok kalau asyik nak mengharapkan bantuan orang lain,” jelasnya.

    Pada Jun 2019, Izam diserang penyakit angin ahmar sehingga membuatkan pergerakannya tidak kuat seperti dahulu.

    Malah Izam sudah tidak mampu melakukan pekerjaan berat dan hanya menjana pendapatan menerusi nyanyian. – Agensi

    Izam tidak mahu semata-mata mengharapkan bantuan dari orang lain. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...