NILAI, 25 FEB – Pelumba basikal trek wanita Malaysia, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan status selaku juara bertahan sama sekali tidak tergugat, selepas berjaya mengungguli pingat emas acara keirin elit wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional di Nilai, hari ini.
Pelumba berusia 22 tahun itu, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat sekali gus mengulangi pencapaiannya di ATC edisi lepas di New Delhi, India.
Anak jati Kedah itu tenang memberikan saingan kompetitif mengatasi pencabar dari Korea Selatan Kim Haeun yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala gangsa acara itu menjadi milik pelumba China Guo Yufang.
“Kejayaan ini cukup bermakna bagi saya dan tidak sangka turut dapat menewaskan Mina Sato dari Jepun (juara dunia turut berada dalam perlumbaan akhir), kerana dia masih berada di kemuncak prestasi.
“Namun, saya sudah buktikan bahawa saya juga mampu bersaing di peringkat tertinggi (menerusi keputusan hari ini),” katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan di Nilai. – Bernama
