ARAFAT, 5 JUN – Jabal Al-Rahmah di Arafah hari ini telah menyaksikan kehadiran ramai jemaah haji yang mula membanjiri kawasan berkenaan sejak awal pagi untuk berdoa serta memohon keampunan dan rahmat, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Mercu tanda penting yang terletak 17 kilometer dari Masjidil Haram dan berketinggian kira-kira 65 meter itu mempunyai nilai keagamaan mendalam sebagai lokasi Nabi Muhammad SAW menyampaikan Khutbah Wida’ (Khutbah Perpisahan).
Sebagai cerminan komitmen kepimpinan Arab Saudi terhadap kebajikan jemaah, beberapa projek baharu berkeluasan keseluruhan 196,000 meter persegi telah dilaksanakan di sekitar Jabal Al-Rahmah bagi mengurangkan tekanan haba.
Antara inisiatif tersebut termasuk 1,200 meter persegi kawasan berbumbung yang dilengkapi 129 kipas pancutan kabus, bagi menyejukkan suasana dan menurunkan suhu demi memastikan keselesaan serta keselamatan jemaah. – Bernama


