Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Adat Istiadat disaran lebih proaktif

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa adat adalah tonggak institusi raja dan bangsa yang perlu didukung dan diperkukuh, bukan dibiarkan layu dan lemah.

    “Brunei tegak adalah dengan agama dan adat istiadat. Agama dijulang adat disanjung.

    Kedua-duanya berjalan seiring sebagai identiti bangsa. Kerana itu, seperti agama, adat juga perlu dipelihara kerana ia adalah pemanis dan perhiasan bangsa. Bangsa yang beradat istiadat biasanya adalah dihormati. Jadi kita janganlah mengabaikan adat,” titah Baginda semasa berkenan berangkat ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mempengerusikan Persidangan Khas Majlis Mesyuarat Adat Istiadat, di Bilik Mesyuarat West Wing, Aras 1, JPM.

    Turut berangkat ke persidangan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku penasihat; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah selaku pengerusi; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku timbalan pengerusi kedua; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen selaku timbalan pengerusi ketiga; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah selaku timbalan pengerusi keempat.

    Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar selaku penolong pengerusi, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei, pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, dan pehin-pehin manteri.
    Terdahulu majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah semasa mempengerusikan Persidangan Khas Majlis Mesyuarat Adat Istiadat, di Bilik Mesyuarat West Wing, Aras 1, JPM.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mempengerusikan Persidangan Khas Majlis Mesyuarat Adat Istiadat, kelmarin. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
    YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz turut hadir semasa persidangan khas berkenaan.
    Menteri-menteri kabinet dan pembesar negara yang hadir.
    Antara yang hadir semasa persidangan khas tersebut.

    Baginda seterusnya bertitah menekankan adat bukan milik satu-satu golongan, iaitu golongan diraja sahaja tetapi milik bersama bangsa di mana semua berkewajipan untuk melihatnya kekal, berkembang dan unggul.

    “Dalam hal ini, visi Jabatan Adat Istiadat adalah jelas untuk memberikan pengetahuan dan kefahaman kepada orang ramai mengenai adat istiadat, sementara misinya ialah untuk melaksanakan majlis-majlis beristiadat dan memberigakan adat istiadat kepada rakyat dan penduduk sebagai warisan turun-temurun.

    “Tetapi usaha mengembangkan itu memerlukan ketua. Ketualah perancang dan pencetus idea serta penggerak jentera. Jika ketua ketandusan idea dan lemah, maka bagaimana mungkin untuk jentera dapat bergerak ligat,” tegas Baginda Sultan.

    “Inilah yang Beta nampak pada masa ini. Kita belum mempunyai perancang yang memiliki idea-idea besar untuk memperkasa adat istiadat. Bahkan setakat mengemas kini apa yang patut dikemas kini pun tidak berupaya dilakukan, seakan-akan cuma menunggu arahan sahaja tanpa proaktif membuat rancangan.

    “Padahal peranan dan tanggungjawab Jabatan Adat Istiadat antara lain ialah untuk memelihara adat resam itu supaya terus bisai, kemas dan benar-benar terpakai sebagaimana semestinya,” tekan Baginda lagi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menekankan tanggungjawab Jabatan Adat Istiadat yang lain iaitu memikir dan merancang apa-apa yang patut dirancang untuk menampung kekurangan atau menambal mana-mana yang berlubang atau rumpung jika ada sehingga adat itu jadi malar, bagus, cantik dan unik.

    Menurut Baginda, yang demikian itulah peranan asasi Jabatan Adat Istiadat dan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat, bukannya mengelinga perkara-perkara lain di luar tugas dan tanggungjawab seperti memikirkan untuk menaikkan taraf Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, kerana sama ada patut atau tidak dinaikkan tarafnya sudah ada pihak berkenaan lain yang patut memikirkannya dan bukan Jabatan Adat Istiadat dan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat.

    “Begitu juga mengenai perkara mencantikkan Bandar Seri Begawan dengan pelbagai jenis rancangan bukanlah di bawah tanggungjawab Jabatan Adat Istiadat dan Majlis Mesyuarat Adat Istiadat, tetapi pihak berkenaan sudah pun sedia ada untuk memikirkannya.

    “Yang penting dibuat ialah menyelesaikan kerja-kerja dan tanggungjawab sendiri sebaik yang mungkin sehingga tidak akan berlaku perkara-perkara terbengkalai atau kucar-kacir,” tambah Baginda.

    Semua itu, tekan Baginda lagi, perlu dibuat mengikut panduan atau prosedur operasi standard (SOP) Adat Istiadat, jika ada, dengan ditangani secara teliti dan cepat, bukannya menangguh-nangguhkan seperti apabila berlaku kemangkatan, pengumumannya lambat dibuat sehingga orang ramai pula yang lebih dahulu tahu.

    “Sudahlah lambat, pengumuman juga hanya diserahkan kepada radio dan televisyen sahaja. Begitu juga, tentang pakaian berkabung sehingga menyebabkan orang ramai jadi kelam-kabut mencari kain putih untuk melilit songkok dan orang-orang perempuan mencari tudung kepala berwarna putih,” tegas Baginda.

    Selain itu, Baginda Sultan juga menyentuh mengenai pengurusan jenazah yang didapati tidak menentu.

    “Jenazah dibawa dengan kereta ambulans, adakah perkara ini mengikut panduan daripada buku adat istiadat?

    “Ketika permakaman, macam-macam keadaan dapat dilihat yang sepatutnya tidak berlaku seperti menimbus makam dengan cangkul, padahal yang sudah-sudah kita menggunakan bakul pungkis untuk mengangkut tanah dan menuang ke atas makam, bukannya mengambil jalan ringkas dengan hanya menyangkul tanah.

    “Di sinilah adat itu perlu dibisaikan, kalau tidak mahu bisai, tidak payahlah kita beradat,” tekan Baginda Sultan.

    Semasa di akhir titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyentuh mengenai fungsi dan tanggungjawab Jabatan Adat Istiadat yang antara lain ada menyebut memberikan khidmat bantuan dan nasihat kepada agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) persatuan-persa-tuan dan institusi pengajian di dalam perkara-perkara yang melibatkan adat istiadat.

    “Soalnya, kalau Jabatan Adat Istiadat sendiri sudah tidak dapat melakukan kerja-kerja yang betul, bagaimanakah ia boleh untuk menasihati atau memandu pihak-pihak lain bagi memahami adat istiadat?,” soal Baginda.

    Menurut Baginda Sultan, berdasarkan semua itu, Jabatan Adat Istiadat mahu tidak mahu perlu muhasabah dirinya bagi membaiki pentadbirannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda