Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Belia dan Sukan akan adakan Program Dimensi Belia Berdudun

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Bagi memberikan pendedahan dan pengalaman kepada belia mengenai sejarah dan latar belakang kampung melalui riadah dan berinteraksi bersama penduduk kampung, Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Tutong dan Cawangan Brunei dan Muara akan mengadakan Program Dimensi Belia Berdudun.

    Perkara ini dikongsikan oleh pengerusi bersama program, Haji Mohammad Sofian bin Haji Amit dan Dayang Amhra Farahiyah binti Haji Hamdillah ketika dihubungi hari ini.

    Projek yang julung kalinya dilaksanakan bersama dua buah daerah itu adalah dengan kerjasama Institut Mukim Kampung Telisai yang akan diadakan pada 28 dan 29 September ini di Kampung Danau.

    Dengan adanya program seumpama itu, ia juga diharap dapat memberikan pengalaman dan memotivasikan bagi menginovasikan pemikiran belia mengenai semangat kebeliaan dan kerjasama dalam masyarakat.

    Di samping itu, ia diharap agar belia-belia mengenali sejarah kampung, memahami kebudayaan serta pergaulan orang-orang kampung, dan mengetahui aktiviti kampung dalam sukan kemasyarakatan dan adat resam.

    Antara pengisian program itu nanti termasuk kemasyarakatan, kesukanan, kebudayaan dan juga keagamaan.

    Sehubungan itu, seramai 20 orang belia yang berumur antara 15 hingga 35 tahun yang berminat bagi menyertai program berkenaan bolehlah mendaftar di
    https://timyurl.com/BERDUDUN2024heading.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda