Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Buruh adakan sesi jerayawara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Jabatan Buruh baru-baru ini telah mengadakan sesi Jerayawara bersama Agensi-agensi Penguatkuasaan Undang-undang untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai khususnya pekerja-pekerja syarikat berhubung hak dan tanggungjawab mereka sepertimana yang telah dinyatakan di dalam peruntukan dan undang-undang Negara Brunei Darussalam.

    Diadakan dengan kerjasama Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), jerayawara berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Kuala Belait pada 24 November lalu. Ia merupakan salah satu daripada pelan tindakan Pasukan Bertindak Program Kesedaran Awam mengenai Anti Pemerdagangan Orang.

    Jerayawara dimulai dengan pemberigaan mengenai hak dan tanggungjawab pekerja-pekerja tempatan dan asing dalam sektor swasta oleh Jabatan Buruh dan diteruskan lagi dengan pemberigaan mengenai kesalahan-kesalahan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 oleh JIPK, pemberigaan mengenai pemerdagangan manusia oleh Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, PPDB; dan mengenai kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Eksais, 2006 oleh JKED.

    Jabatan Buruh dalam kenyataan yang dikeluarkan menekankan jenayah pemerdagangan orang adalah salah satu kesalahan serius di Negara Brunei Darussalam.

    Oleh itu, jabatan berkenaan mengingatkan setiap majikan supaya akan sentiasa memantau hal ehwal kebajikan dan keberadaan pekerja mereka menurut kehendak Perintah Pekerjaan, 2009, Akta Anti Pemerdagangan Orang, Penggal 230.

    Antara peserta yang hadir semasa jerayawara berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda