Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Statistik dari Jabatan Buruh pada 2020 menunjukkan bahawa kebanyakan kesalahan undang-undang buruh yang dilakukan oleh para majikan adalah tidak membayar gaji iaitu sebanyak 35 kes dan tidak menyediakan tiket pulang kepada negara asal pekerja pada hujung kontrak mereka iaitu sebanyak 47 kes.
Perangkaan itu dikongsi oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Jabatan Buruh, Awang Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim yang juga pengerusi Pasukan Bertindak bagi Kesedaran Awam, Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pemerdagangan Orang (TIP) semasa temu bual yang diadakan baru-baru ini, untuk memberikan penerangan mengenai peranan jabatan berkenaan dalam memantau tanda-tanda eksploitasi pekerja asing di negara ini serta sebarang elemen TIP seperti komitmen negara dalam mengakar kes-kes penyeludupan manusia dengan memastikan hak-hak integriti daripada proses pengambilan hingga kepada pekerjaan mereka.
Negara Brunei Darussalam telah menempatkan peruntukan undang-undang yang melindungi hak pekerja asing dalam negara ini dan ini, menurut Awang Muhammad Saufi, termaktub dalam Perintah Pekerjaan, 2009, Akta Pampasan Pekerja, 1957 dan perundangan lain yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Buruh.
“Undang-undang ini melindungi pekerja-pekerja asing di Brunei daripada ancaman eksploitasi dengan memastikan bahawa mereka mendapatkan layanan yang adil dan beretika daripada majikan mereka,” jelasnya.
Menerangkan lanjut, beliau berkata bahawa Jabatan Buruh menerusi kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain juga menyokong penguatkuasaan perundangan lain yang relevan dalam melindungi hak-hak pekerja asing.
Ini jelasnya, termasuk Perintah Anti-Pemerdagangan Orang, 2019 di bawah Jabatan Perdana Menteri di mana pegawai-pegawai penguatkuasaan buruh diberikan kuasa untuk menyiasat kes-kes di bawah perintah berkenaan.
“Sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP), mereka akan melihat tanda-tanda eksploitasi dan elemen-elemen lain TIP semasa mengendalikan penyiasatan rutin ke dalam pertikaian buruh atau isu-isu pekerjaan lain,” tambah beliau.
Satu lagi aspek adalah perundangan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, termasuk Akta Pasport, 1984 yang melarang para majikan daripada menahan pasport-pasport pekerja asing mereka.
Dalam memastikan proses pengambilan bagi pekerja asing di Brunei adalah dilaksanakan mengikut undang-undang, jabatan itu menekankan komitmennya bagi proses-proses berkenaan untuk mematuhi serta selaras dengan amalan-amalan pekerjaan beretika.
Awang Muhammad Saufi berkongsi bahawa selaras dengan undang-undang Brunei, beberapa langkah telah ditempatkan untuk melindungi hak-hak pekerja asing dalam proses pengambilan. “Sebagai sebahagian daripada langkah-langkah ini, hanya agensi-agensi pekerjaan yang berlesen dibenarkan untuk merekrut pekerja asing ke Brunei.
Agensi-agensi ini perlu memenuhi keperluan lesen yang ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Buruh, di mana ia termasuk keperluan untuk mempunyai kefahaman menyeluruh peraturan dan undang-undang relevan khususnya yang berkaitan dengan hak-hak pekerja asing.”
Beliau juga berkata bahawa jabatannya bekerjasama rapat dengan Job Centre Brunei, Kementerian Pembangunan, Kementerian Tenaga dan pengawal selia yang lain dalam melindungi integriti proses pengambilan.