Saturday, March 29, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Imigresen selamatkan 21 mangsa pemerdagangan manusia

    PUTRAJAYA, 10 JAN – Jabatan Imigresen berjaya menyelamatkan 21 lelaki warga Bangladesh dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam operasi di Klang, Selangor, dua hari lepas.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini berkata kesemua mereka yang berumur 20 hingga 40 tahun diselamatkan dalam operasi sekitar pukul 3:30 petang oleh pasukan serbuan dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sebuah premis rumah kedai, hasil maklumat awam dan risikan.

    Beliau berkata pasukan operasi turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

    “Kesemua individu berkenaan dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh majikan yang menguruskan kemasukannya ke dalam negara. Hasil siasatan awal mendapati mereka juga diabaikan tanpa sebarang pekerjaan selama kira-kira enam bulan,” katanya.

    Katanya semakan juga mendapati ada antara mereka memperoleh Pas Lawatan Kerja Sementara yang sah dan bekerja, namun tidak diberikan upah oleh majikan, selain pasport mereka turut dipegang dan disimpan oleh majikan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda