Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Selaras dengan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan, Jabatan Penerangan melalui Unit Hubungan Masyarakat Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan telah mengadakan Program Muzakarah Penerangan bersama penduduk Mukim Menteri yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Mentiri, hari ini.
Muzakarah yang diadakan bagi menjelaskan dan mengongsikan maklumat-maklumat seperti isu-isu semasa dan dasar kerajaan itu telah dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad.
Beliau menjelaskan bahawa muzakarah berkenaan menjadi perantaraan di antara kerajaan dan rakyat serta penduduk mukim dan kampung di samping dapat meningkatkan komitmen, keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada rakyat dan penduduk di negara ini.
Melalui muzakarah ini, hubungan baik akan terus terjalin demi memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Antara isu-isu dan cadangan yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan kesejahteraan penduduk dan kemudahan awam.
Beliau berharap supaya apa jua jawapan yang disampaikan oleh pihak agensi yang berkaitan tentang rancangan kerajaan akan diterima dengan baik dan akan dapat menangani dan mengatasi segala isu penduduk mukim dan kampung.

Di akhir ucapannya, beliau menekankan bahawa semua isu dan cadangan yang dibangkitkan dan mendapat jawapan daripada wakil-wakil jabatan yang hadir dan mana-mana yang disampaikan oleh ketua- ketua kampung Mukim Mentiri akan diambil perhatian dan tindakan selanjutnya.
Ahli-ahli panel muzakarah berkenaan terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dari jabatan-jabatan kerajaan.
Program berkenaan dirancang untuk diadakan empat atau lima kali setahun di seluruh negara bermula tahun lalu iaitu dua buah mukim bagi Daerah Brunei dan Muara, sebuah mukim bagi Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong akan mengadakan sekali dalam dua tahun.
Program juga diharap akan dapat merapatkan lagi hubungan mesra yang terjalin antara kerajaan dan masyarakat pada amnya. Adanya muzakarah berkenaan juga memperlihatkan kepekaan dan sikap pemedulian kerajaan dalam memastikan rakyat dan penduduk hidup dengan aman dan sejahtera sekali gus dapat mengangkat kredibiliti di mata dan penduduk.
Juga hadir semasa muzakarah berkenaan ialah Penghulu Mukim Mentiri, Pengarah Haji Abdul Rahman bin Haji Naim dan ketua-ketua kampung di bawah Mukim Mentiri, pegawai-pegawai kanan, pegawai perhubungan awam dan kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan serta penduduk kampung di bawah tadahan Mukim Mentiri.