Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Bagi memperingati ulang tahun penubuhannya ke-63 tahun pada 1 Mac ini, Jabatan Penjara melalui Jawatankuasa Keagamaan telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Majlis Khatam Al-Quran, di Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Turut hadir ialah setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat, pegawai-pegawai kanan, para pegawai serta kakitangan di Jabatan Penjara.
Majlis khatam Al-Quran telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat sebelum diteruskan dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam oleh Haji Ismail bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Abdul Hamid.
Manakala bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran telah dibacakan oleh Haji Azmi bin Haji Tapau.

