Wednesday, February 19, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Penjara menang Kejohanan Futsal

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 13 NOV – Pasukan Jabatan Penjara memenangi tempat pertama dalam Kejohanan Futsal bagi Jabatan-jabatan dan Agensi-agensi di Bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) yang telah diadakan kelmarin di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Mumong.

    Kejohanan itu menyaksikan penyertaan sebanyak 12 pasukan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan para kakitangan KHEDN dari seluruh negara berkumpul untuk mengambil bahagian dalam perlawanan futsal berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

    Bermula dengan peringkat kumpulan, setiap pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan empat pasukan teratas daripada setiap kumpulan seterusnya mara ke suku akhir.

    Lapan pasukan yang bertan-ding di suku akhir termasuk Pasukan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Pasukan Jabatan Penjara, Pasukan Jabatan Ukur, dan Pejabat Daerah Tutong daripada Kumpulan A; serta Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Pasukan KHEDN, Pejabat Daerah Belait, dan Pejabat Daerah Temburong daripada Kumpulan B.

    Kemuncak perlawanan menyaksikan saingan sengit antara Pasukan Jabatan Penjara dengan Pasukan JIPK, dengan Pasukan Jabatan Penjara meraih kemenangan dengan keputusan 1-0.

    Tempat ketiga kejohanan pula diraih oleh Pasukan JBP, yang me-ngatasi Pasukan KHEDN dalam perlawanan merebut tempat ketiga.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara di Daerah Belait, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat, dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann selaku Ketua Kampung Bukit Sawat serta Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, penghulu mukim, ketua kampung, pegawai kanan dan kakitangan di bawah KHEDN.

    Antara aksi para pemain semasa kejohanan tersebut di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Mumong, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda