Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Dalam usaha meningkatkan amal ibadat serta mengeratkan silaturahim sesama pegawai dan kakitangan, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan dengan kerjasama Urus Setia Majlis Pelajaran Kebangsaan dan Pusat Teknologi Pendidikan telah mengadakan Majlis Bertadarus sempena Bulan Ramadan yang berlangsung di Masjid Kampung Salambigar hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Acara dimulakan dengan penyampaian wakaf berupa barangan kerusi dan meja serta barangan elektrik untuk jamuan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Imam Masjid Kampung Salambigar, Haji Abdul Halim bin Haji Bungsu.
Acara diteruskan dengan majlis bertadarus dan berakhir dengan doa bagi memberkati majlis yang diketuai oleh Haji Abdul Halim.
Turut hadir di majlis tersebut ialah naib canselor, rektor, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta penduduk kampung sekitarnya.



