Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Perhutanan Sabah rampas 45 kayu balak

    KOTA KINABALU, 2 MAC – Jabatan Perhutanan Sabah merampas 45 batang kayu balak yang ditebang secara haram di dua tanah kerajaan di pedalaman negeri ini dan menahan seorang suspek.

    Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata Pasukan Penguat kuasa Wilayah Keningau jabatan itu menahan seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembukaan tanah kerajaan melibatkan penebangan dan pengumpulan kayu balak secara haram di Kampung Kasuing, Keningau pada Jumaat lepas.

    Katanya, turut disita adalah satu unit jentera traktor, 11 batang balak dan kira-kira 300 keping kayu terubah pelbagai saiz.

    Menurutnya, sebelum itu Pasukan Penguatkuasa Wilayah Kudat jabatan itu menyita lima unit jentera traktor berhampiran Kampung Tagibang, Ranau pada Rabu lepas.

    Semua jentera disyaki telah digunakan untuk mengumpul kayu balak di tanah kerajaan tanpa sebarang kelulusan atau permit yang sah, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, turut disita adalah 34 batang balak yang dikumpul di beberapa kawasan berasingan dan semasa serbuan dilakukan tidak ada pekerja yang ditemui di lokasi berkenaan dan lima unit traktor ditemui di beberapa lokasi yang berasingan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda