SANDAKAN, 6 Nov – Jabatan Perhutanan Sabah menyatakan komitmen dalam memastikan warga kerjanya bebas daripada rasuah dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Majlis menandatangani IBR pada 26 Okt lepas di Pejabat Perhutanan Kota Kinabalu itu membabitkan 70 warga jabatan diketuai Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Sam Mannan dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Hasbilah Mohamad Salleh.
Dalam satu kenyataan hari ini, Sam berkata dalam merealisasikan matlamat itu, warga kerja jabatan itu perlu mempunyai nilai-nilai integriti yang tinggi serta terus mengamalkan budaya kerja cemerlang.
“Integriti juga merupakan benteng utama dalam membawa kecemerlangan sesebuah agensi kerajaan dan penjawat awam yang berintegriti tidak akan membiarkan kepentingan diri mengatasi organisasi dan orang awam,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan IBR di peringkat Jabatan Perhutanan Sabah ini juga antara tanda komitmen jabatan menzahirkan iltizam yang kuat untuk terus memperkukuhkan lagi integriti pegawai dan kakitangan jabatan itu.
Beliau berkata jabatan itu telah merancang secara berterusan bagi melaksanakan pelbagai program serta aktiviti untuk memberi kesedaran kepada warganya agar menjauhkan diri daripada penyalahgunaan kuasa dan perlakuan rasuah termasuk program integriti dan ceramah. – Bernama