Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabatan Ukur johan pertandingan dikir

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Jabatan Ukur mengungguli Pertandingan Dikir Syarafil Anam apabila kumpulan lelaki dan perempuannya diumumkan sebagai pemenang pertama dengan mengumpul markah 91 peratus dalam pertandingan yang berlangsung di Kementerian Pembangunan, hari ini.

    Sementara itu, tempat kedua dan ketiga kategori lelaki pula masing-masing dimenangi oleh kumpulan Jabatan Perkhidmatan Air (80.5 peratus) dan kumpulan Kementerian Pembangunan (80 peratus).

    Bagi kategori perempuan, tempat kedua disandang oleh kumpulan Jabatan Tanah (88 peratus) dan Jabatan Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal di tempat ketiga (85 peratus).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

    Majlis yang dikelolakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya itu diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Tarbiyah Rasulullah Membawa Rahmat dalam Berkeluarga’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.

    Pertandingan tersebut disertai oleh 17 kumpulan dengan 10 kumpulan saja yang berjaya masuk ke peringkat akhir berkenaan dan majlis juga diteruskan dengan penyampaian hadiah sagu hati kepada kumpulan yang menyertai pertandingan tersebut.

    Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Alice Lim Sui Kau, para pengarah dan timbalan Pengarah, ketua-ketua divisyen dan unit, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi menyampaikan hadiah juara kepada Jabatan Ukur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda