Jabatan Ukur terima lawatan kerja dari Universiti Politeknik HK

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seramai tiga perwakilan profesional dari Universiti Politeknik Hong Kong, diketuai oleh Ketua Jabatan Land Surveying and Geo-Informatics, Profesor Dr. Shi Wen Zhong, John telah membuat lawatan kerja ke Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan baru-baru ini.

Mereka dialu-alukan oleh Pemangku Juruukur Agung, Jabatan Ukur, Haji Ali Bakar bin Haji Kasim.

Universiti Politeknik Hong Kong adalah sebuah universiti yang telah lama ditubuhkan sejak tahun 1937, menawarkan program-program dari peringkat Diploma Tertinggi dan Sarjana Muda hingga ke peringkat pascasiswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah).

Program-program tersebut merangkumi pelbagai jurusan seperti Pengukuran Tanah dan Geo-Informatik, Perkomputeran, Logistik dan Kajian Maritim dan lain-lain.

Lawatan tersebut antara lain bertujuan memperkenalkan program kursus yang ditawarkan iaitu kursus Diploma Tertinggi, Sarjana Muda dan Sarjana jurusan Pengukuran Tanah dan Geo-Informatik kepada Jabatan Ukur yang diharap dapat menarik minat para pegawai dan kakitangan jabatan untuk mengambil kursus berkenaan.

Sesi bergambar ramai bersama perwakilan dari Universiti Politeknik Hong Kong, Pemangku Juruukur Agung dan para pegawai kanan di Jabatan Ukur.
Sesi bergambar ramai bersama perwakilan dari Universiti Politeknik Hong Kong, Pemangku Juruukur Agung dan para pegawai kanan di Jabatan Ukur.

Selain itu ia bertujuan membina hubungan kerjasama di antara Universiti Politeknik Hong Kong dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

Prof. Dr. Shi Wen Zhong, John, menyatakan jabatan tersebut menawarkan program yang berkaitan dengan geomatik yang memfokuskan kepada Pengukuran Tanah, Geo-Informatik dan Pengurusan Utiliti dan Pengukuran.

Selain itu, ia diiktiraf oleh badan institusi profesional tempatan seperti Hong Kong Institutes of Surveyors (HKIS), Hong Kong Institutions of Engineers (HKIE) dan Hong Kong Institution of Engineering Surveyors (HKIES), dan serantau seperti Royal Institutions of Chartered Surveyors (RICS).

Menurut Prof Dr Shi, universiti berkenaan juga menawarkan biasiswa penuh bagi pelajar terbaik, tempatan atau antarabangsa, tertakluk kepada terma dan syarat.

Turut hadir semasa perjumpaan tersebut ialah pemangku timbalan juruukur agung dan para pegawai kanan di Jabatan Ukur.