BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Urusan Haji telah menerima penghargaan buat kali kedua daripada Muassasah Jemaah Haji Asia Tenggara, Mekah atas kejayaan Jabatan Urusan Haji Negara Brunei Darussalam dalam urusan-urusan hal ehwal haji pada musim haji yang lalu.
Penyampaian penghargaan dan trofi tersebut disempurnakan oleh ahli Majlis Muassasah Dalam Hal Ehwal Pengurusan Haji, Ketibaan dan Pergerakan Jemaah, Safi Azhari pada majlis yang berlangsung di Pejabat Muassasah Jemaah Haji Asia Tenggara, Mekah pada 19 Februari lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, KHEU, di sini, sebelum majlis penyampaian penghargaan, telah berlangsung perundingan antara Pemangku Pengarah Urusan Haji, KHEU, Haji Abdullah bin Haji Mohamad bersama Pengerusi Majlis Muassasah Jemaah Haji Asia Tenggara, Mohamad Amin Andargiri me-ngenai pengurusan haji bagi tahun 1438H/2017M, diikuti dengan kedua-dua belah pihak telah menandatangani Kesepakatan Pengurusan Haji Negara Brunei Darussalam bagi musim haji tahun 1438H/2017M.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Muassasah Jemaah Haji Asia Tenggara, Dr. Yusof Jaha dan ahli-ahli Majlis Pentadbiran Muassasah.
