Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah merasmikan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, hari ini.
Majlis perasmian yang diadakan di ruang legar Bangunan Asal KHEU itu adalah susulan penaiktarafan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam menjadi Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal yang ditempatkan di bawah KHEU.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam.
Hadir sama ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, ahli-ahli Majlis Ugama Islam dan Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat, setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan di KHEU.
Sejurus selepas menyempurnakan perasmian, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama telah dibawa meninjau ke sekitar Jabatan Zakat, Waqaf dan Baitulmal yang baru diubahsuai dengan tumpuan utama tinjauan adalah ruangan legar kaunter-kaunter perkhidmatan, kaunter kutipan zakat dan kaunter layan diri di aras bawah jabatan
berkenaan.
Acara diikuti dengan penyerahan sumbangan peralatan komputer daripada Syarikat imagine Sdn Bhd berupa dua unit komputer dan satu unit mesin pengimbas untuk ditempatkan di kaunter layan diri serta tiga unit tablet bagi kegunaan petugas zakat.
Hadir bagi menyerahkan sumbangan peralatan berkenaan ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Allen On.
Sumbangan tersebut adalah sebagai inisiatif syarikat berkenaan menyokong urus tadbir dan proses kerja siasatan dan pengagihan zakat di jabatan berkenaan menerusi Sistem Kebajikan Negara, agar ia dapat bergerak dengan lebih efisien dan dinamik.
Pada masa ini, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal mengandungi enam bahagian utama iaitu Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Waqaf dan Baitulmal, Bahagian Zakat, Bahagian Sistem dan Data Maklumat, Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Perlaksanaan Projek dan Program Pengupayaan Asnaf Zakat.
Majlis majlis diakhiri dengan Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.