Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jabeur buru Kejuaraan Grand Slam

    LONDON, 14 JULAI – Ons Jabeur berkata dia mahu mencipta sejarah untuk Tunisia dan Afrika dengan memenangi gelaran Grand Slam selepas mara ke final Wimbledon buat kali kedua berturut-turut semalam.

    Pilihan keenam, merupakan bekas naib juara tahun lalu, bangkit daripada satu set dan ketinggalan 4-2 untuk menewaskan pemain nombor dua dunia, Aryna Sabalenka dari Belarus 6-7 (5/7), 6-4, 6-3.

    Jabeur, yang kini telah bangkit tiga kali daripada tercicir set pertama pada kejohanan tahun ini, akan menentang pemain bukan pilihan dari Czech, Marketa Vondrousova, di ranking ke-42, pada perlawanan akhir esok.

    Pencabar Tunisia itu tahun lalu menjadi wanita Afrika dan Arab pertama dalam Era Terbuka untuk mara ke final Grand Slam di Wimbledon.

    Pemain berusia 28 tahun itu mengakui dia tidak tahan untuk menonton video perlawanan akhir tahun lalu, di mana dia tewas di tangan Elena Rybakina selepas memenangi set pertama.

    Ons Jabeur memberikan reaksi kepada penonton pada perlawanan separuh akhir kejohanan tenis Wimbledon di London, pada 13 Julai. – AP

    Jabeur, yang juga tewas dalam final Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2022, berkata, peminat Tunisia sentiasa menyokongnya, apa pun keputusannya.

    “Perkara yang baik tentang mereka adalah mereka selalu memberitahu saya, ‘Menang atau kalah, kami akan tetap menyayangimu’,” katanya.

    “Itu kata-kata yang bagus untuk didengar. Saya sentiasa cuba mengingatinya, walaupun saya tahu semua orang mahu saya menang. Ia lucu, kerana beberapa peminat menghantar mesej kepada jurulatih saya, memberikan nasihat bagaimana dia harus melatih saya.”

    Tetapi pemain berusia 28 tahun itu berkata, dia memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda