Hebat dalam lakonan aksi lagak ngeri, pelakon Hong Kong Jackie Chan tidak terkecuali berdepan situasi mencemaskan ketika penggambaran.
Jackie, 70, mendedahkan dia pernah pengsan ketika menjalani penggambaran aksi lagak ngeri filem Panda Plan.
“Tiba-tiba saya berasa lemah dan nak rebah. Kemudian kru terus berlari ke arah saya untuk pastikan saya selamat. Saya seperti tak sedar dan keliru dengan apa terjadi. Apabila diberitahu saya pengsan, rasa macam tak percaya pula dan menganggap mungkin ia berlaku sebab saya tahan nafas ketika melakukan babak aksi,” katanya.
Dalam pada itu, Jackie memberitahu dia berkeras memberitahu berada dalam keadaan baik tetapi memerlukan bantuan untuk bangun.
Komited terhadap kerjaya, Jackie juga meneruskan penggambaran adegan sama selepas berehat seketika.
“Ia bukan masalah besar, saya perlu menyakinkan semua orang saya baik-baik saja. Jika tidak mereka akan menggunakan pelagak ngeri menggantikan saya. Jika saya hanya duduk di tepi sambil melihat pihak produksi menggunakan pelagak ngeri, saya akan berasa sangat bersalah!” tambahnya.
Sementara itu, Jackie mendapat tepukan gemuruh daripada kru produksi selepas dia melakukan sendiri aksi memecut motosikal berkuasa tinggi menembusi tingkap. Seluruh kru tak senang duduk apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum tercampak sejauh beberapa meter.
Tidak hanya itu, Jackie juga melompat dari lantai ke atas kotak kayu besar sebelum melompat ke tingkat dua sebuah bangunan. Walaupun kelihatan mudah namun ia masih mencabar memandangkan usianya sudah mencecah 70 tahun. Selain Jackie Chan, Panda Plan juga menampilkan panda Hu Hu sebagai bintang utama.
Filem ini mengisahkan bintang kung fu, Jackie Chan (dilakonkan oleh Jackie) diundang untuk menjaga anak panda popular, Hu Hu yang menjadi sasaran organisasi jenayah antarabangsa. – Agensi