Friday, February 21, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaclyn Victor bakal ambil tindakan terhadap individu luar negara

    Penyanyi Jaclyn Victor percaya individu yang menyebarkan fitnah tentang dirinya di media sosial bukan perbuatan rakyat Malaysia.

    Jaclyn atau Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 47, berkata, selepas menyelidik beberapa berita palsu itu daripada laman web berbeza ia dipercayai perbuatan seseorang berasal dari India.

    “Semua yang hantar tangkap layar mengenai berita palsu itu daripada laman web berbeza. Saya cuba cari laman web tersebut tetapi tiada.

    “Kalau betul itu iklan, sudah pasti ada seseorang bayar sebab iklan bukannya percuma.

    “Semua maklumat saya bandingkan untuk memastikan sama ada ia di bawah nama yang sama. Rupa-rupanya ia perbuatan seseorang dari negara India,” katanya kepada mStar.

    Jaclyn berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media pelancaran album terbaharunya ‘Glorious’ yang berlangsung di Kuala Lumpur kelmarin.

    Dalam pada itu, Jaclyn memberitahu dia sedang dalam proses mengumpul semua bukti sebelum mengambil tindakan lanjut.

    Walaupun individu itu berada di luar negara, Jaclyn tetap akan membuat laporan polis dan menghubungi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan lanjut.

    “Buat masa sekarang saya kena kumpulkan semua tangkap layar yang diberikan orang ramai.

    “Saya kena cetak semua tangkap layar itu untuk dijadikan bahan bukti.

    “Laporan polis dan SKMM saya tetap akan buat walaupun individu itu tidak berada di Malaysia,” katanya.

    Sebelum ini, Jaclyn meluahkan rasa kesal apabila namanya dikaitkan terlibat dengan kes jenayah.

    Lebih memalukan apabila wajahnya disunting pada foto wanita berbogel yang digari polis. – mStar

    Jaclyn mahu ambil tindakan tegas terhadap berita palsu mengenainya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda