Kemantapan vokalnya membuatkan penyanyi Jaclyn Victor terbang ke New York untuk berkerjasama dengan Gerald Sellan dan Adrian Puan bagi lagu terbaharunya berjudul Kembalilah.
Jaclyn atau Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 44, berkata dia terkejut apabila dilamar oleh komposer dan penulis lirik itu bagi menyanyikan karya mereka.
“Mula-mula tu saya memang terkejut apabila Gerald dan Adrian menghubungi saya dan beritahu yang mereka nak saya nyanyikan lagu hasil karya mereka.
“Mereka ni berada di New York! Jadi, saya pun terbang ke sana untuk merealisasikan impian mereka dan juga diri sayasendiri,” katanya.
Kongsi Jaclyn, dia bagaimanapun mula menyukai lirik lagu Kembalilah itu semasa proses pembikinan dan menghafal lirik lagu berkenaan.
Katanya, setiap lirik Kembalilah mempunyai mesej yang mendalam kerana menyentuh menyentuh tentang iman, harapan, cinta abadi, peluang kedua dan juga kelahiran semula.
“Melodi lagu ini sememangnya mendayu dan penuh bermakna. Bayangkan betapa terujanya saya dapat menyanyikan lagu ini kerana pembikinan lagu ini sahaja memakan masa lebih 10 tahun. Ini yang dinamakan peluang kedua.
“Walaupun mengambil masa yang lama tetapi ia pasti datang dan jangan sekali-kali berputus-asa!” katanya lagi.
Sementara itu, Gerald selaku komposer dan penulis lirik lagu ini memberitahu bahawa dia peminat tegar penyanyi bersuara mantap itu. – Agensi
