Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaclyn Victor tampil sisi berbeza

    Menuju hari bersejarah Jaclyn Victor First Solo Concert yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Oktober depan, penyanyi berprolifik tinggi yang mesra disapa Jac hadir dengan cenderahati istimewa.

    Menurut laporan Harian Metro, Jac menghadiahkan lagu baharu berjudul Sesal Tak Bermakna sebagai pertaruhan seterusnya yang tidak sabar diperdengarkan kepada semua peminat dan pemerhati muzik tempatan.

    Dihasilkan Gerald Sellan dan Mux Ryzor selaku penerbit, Sesal Tak Bermakna turut menerima gabungan idea Adrian Puan sebagai komposer bersama.

    Meski mengangkat judul yang secara kasarnya akan dikaitkan dengan penyesalan terhadap perbuatan lampau, penyanyi yang terkenal mencapai notasi tinggi dalam vokalnya itu bagaimanapun menterjemah ia daripada sisi berbeza.

    Jac, 45, juga mahu peminat melihat sisi berbeza dirinya selepas lebih dua dekad berlayar dan mengharungi gelombang arus muzik menerusi karya bernuansa gelap berbanding hit miliknya seperti Gemilang atau Kejutkan Aku.

    Jaclyn tampil pertaruh single terbaharu berjudul Sesal Tak Bermakna. – malaymail

    Mempertaruhkan genre balada pop dengan melankolis dentingan piano, Jac mendefinisikan Sesal Tak Bermakna sebagai semangat yang perlu ada dalam setiap individu selepas sesuatu perkara kurang baik berlaku.

    “Mungkin bunyinya kedengaran seperti satu penyesalan terhadap perbuatan yang dilakukan tapi Sesal Tak Bermakna versi single kedua saya ini adalah bagaimana seseorang belajar di sebalik sesuatu yang berlaku dan berusaha menjadi lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

    Jac berkongsi, ironinya Sesal Tak Bermakna yang menjadi single kedua selepas kejayaan Kejutkan Aku itu mengisahkan kebangkitan seseorang selepas cinta yang disemai tidak berbuah manis.

    “Sesal Tak Bermakna adalah sebuah lagu cinta. Ia mengajar kita meneroka dan mengatasi penyesalan serta memaafkan diri sendiri. Saya juga berpegang kepada peribahasa ‘apa yang tidak membunuhmu, menjadikanmu lebih kuat.’ Dan itulah (roh) yang ada dalam Sesal Tak Bermakna,” katanya.

    Menariknya, untuk muzik video lagu itu, Jac kembali mempamerkan bakat lakonannya dengan menjadi teraju. Sebelum ini Jac pernah berlakon dalam filem Talentime pada tahun 2009. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda