Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    JAD diisytiharkan pertubuhan haram

    JAKARTA, 31 Julai – Mahkamah Indonesia hari ini mengharamkan kumpulan ekstremis tempatan dikenali sebagai Jemaah Ansharut Daulah (JAD) yang didakwa bertanggungjawab terhadap siri serangan maut di negara ini dan serentak dengan itu, turut memberi kuasa lebih besar kepada pasukan polis untuk mendakwa serta membekukan sebarang pembiayaan ke atas mereka.

    Menurut pihak berkuasa, JAD yang menyokong gerakan militan Daesh didakwa terbabit dalam serangan maut pada 2016 di Jakarta dan mengejutkan negara itu dengan beberapa serangan nekad di bandar kedua terbesar Indonesia, Surabaya pada Mei lalu.

    Dalam siri serangan itu, dua keluarga termasuk kanak-kanak perempuan berumur sembilan dan 12 tahun bertindak meletupkan diri sendiri di sebuah gereja dan balai polis hingga meragut 13 nyawa.

    “Kami dengan ini memutuskan bahawa pertubuhan JAD diharamkan,” kata Hakim Aris Bawono Langgeng di mahkamah daerah Selatan Jakarta.

    Indonesia sebelum ini pernah mengharamkan pertubuhan kumpulan radikal Jemaah Islamiyah (JI) pada 2008 selepas didapati bersalah dalam beberapa pertuduhan melakukan keganasan, termasuk pengeboman di kawasan tumpuan pelancong di Bali pada tahun 2000 yang meragut 202 nyawa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda