Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadi hab inovasi makanan dunia

    BANGKOK, 30 Mac – Thailand berhasrat untuk menjadi hab inovasi makanan dunia melalui ‘Food Innopolis’.

    “Food Innopolis akan memanfaatkan kelebihan negara dalam pertanian dan industri makanan melalui inovasi dan menambah nilai kepada produk,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Food Innopolis, Dr Akkharawit Kanjana-Opas dalam satu taklimat di sini.

    Tumpuan Food Innopolis adalah ke atas sektor makanan kesihatan serta makanan yang memiliki nilai tambah yang tinggi.

    Thailand merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport makanan terbesar di dunia, industri itu menyumbang lebih daripada 10 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

    Tahun lepas, Thailand mengeksport lebih daripada AS$30 bilion dalam produk makanan dan ia mahu meningkatkannya lagi melalui Food Innopolis.

    Bagi menjamin kejayaan, sebanyak 35 pertubuhan yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta, universiti awam dan persatuan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama.

    Food Innopolis terletak di Taman Sains Thailand di daerah Khlong Luang, utara Bangkok, ia telah dirasmikan pada Mei tahun lepas dengan pelaburan awal sebanyak 3 bilion Baht (kira-kira RM380 juta) oleh kerajaan.

    Food Innopolis yang dilengkapi kemudahan ‘pasang dan pakai’ turut disokong oleh makmal modular dan dikendalikan oleh kakitangan yang berkelayakan yang sentiasa bersedia untuk melakukan penyelidikan serta pembangunan dalam inovasi makanan.

    Sebagai tambahan, kerajaan turut menawarkan insentif cukai dan bukan cukai seperti pengecualian cukai korporat selama lapan tahun, pengecualian import duti ke atas jentera, pengecualian cukai pendapatan peribadi bagi pakar-pakar luar negara dan kebenaran untuk memiliki tanah sendiri bagi menggalakkan pelabur membuka pejabat di Food Innopolis.

    Food Innopolis merupakan salah satu daripada projek kerajaan yang dikenali sebagai ‘Thailand 4.0’, bagi mendorong negara ke tahap status ekonomi berpendapatan tinggi, serta membebaskan Thailand dari ‘perangkap pendapatan sederhana’.

    Menurut Akkharawit lagi, sejak ia dilancarkan pada Mei tahun lepas, Food Innopolis telah menarik lebih daripada 100 syarikat termasuk dari luar negara, yang kemudian memilih untuk beroperasi di kawasan tersebut.

    “Sebanyak 20 syarikat lain akan turut beroperasi di Food Innopolis, dengan sambutan yang luar biasa, ruang tapak sedia ada semakin terhad,” katanya.

    Pihak berkuasa telah memulakan pelan pengembangan Food Innopolis, hampir setahun selepas penubuhannya.

    Katanya, bukan sahaja kemudahan-kemudahan di Pusat Sains Thailand akan dikembangkan bagi memenuhi permintaan masa depan, Food Innopolis juga akan mempunyai operasi di utara, timur laut dan selatan Thailand.

    “Di utara Thailand, ia akan terletak di Chiangmai, timur laut di Khon Kaen dan Songkla di selatan.

    “Setiap pusat akan memberi tumpuan ke atas kekuatan sendiri, misalnya Chiangmai ke atas nasi, daging dan ayam, manakala, Songkla ke atas makanan halal dan makanan laut,” katanya.

    Akhirnya, Food Innopolis akan didirikan di seluruh negara bagi memupuk inovasi dan menambah nilai kepada produk makanan dan pertanian. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda