JOHOR BAHRU, 5 JAN – Terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana terjejas banjir tidak menghalang seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 untuk melakukan yang terbaik bagi peperiksaan itu.
Nor Syahirah Azrin, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang, di sini berkata dia tidak patah semangat sebaliknya akan menjadikan situasi itu sebagai satu cabaran buat dirinya dalam melakar masa depan yang lebih baik.
“Memang ada rasa sedih kerana terpaksa hadapi peperiksaan SPM dalam keadaan rumah ditenggelami air, tetapi saya tidak mahu jadikan itu alasan. Saya tetap mahu berusaha dan lakukan yang terbaik.
“Saya tidak akan patah semangat kerana tahun lepas, abang saya juga menduduki SPM sebagai mangsa banjir, jadi boleh dikatakan ini perkara biasa bagi kami,” katanya kepada pemberita di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru hari ini.
Nor Syahirah berkata air meningkat dengan cepat dalam tempoh 15 minit hingga hampir separuh daripada rumah dua tingkat didiaminya ditenggelami air, kira-kira 6:30 pagi kelmarin iaitu ketika dia sedang bersiap untuk ke sekolah.
“Selepas mendapati air memasuki rumah, saya tidak jadi untuk ke sekolah sebaliknya terus memastikan barangan dan dokumen penting selamat daripada rosak.
Mujurlah buku-buku teks dan nota penting telah diletakkan di tempat selamat terlebih dahulu, cuma baju sekolah rosak,” katanya.
Seorang lagi calon SPM, Muhd Aidil Haqimi Abu Bakar, 18, berkata dia sudah penat berdepan dengan situasi banjir yang kerap berlaku di kawasan kediaman keluarganya di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang. – Bernama


