Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadi modal insan berakhlak mulia

    LONDON, UNITED KINGDOM, 29 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menegaskan para pelajar perlu berhadapan dengan usaha untuk membina jati diri yang luhur lagi terpuji walau dalam apa pun keadaan.

    Para pelajar juga diharapkan untuk memanfaatkan peluang belajar di luar negara bukan hanya bagi menimba ilmu pengetahuan semata-mata, malahan juga untuk menjadi modal insan yang berakhlak mulia di samping memiliki idea-idea besar dan maju bagi merealisasikan Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah ketika berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom (UK) dan Ireland yang berlangsung di Royal Lancaster Hotel, London.

    Berangkat sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Baginda Sultan semasa bertitah turut menggariskan kepentingan pelajar-pelajar pengajian tinggi yang dijangka akan memasuki alam pekerjaan untuk memiliki kemahiran abad ke-21, seperti inovatif, komunikasi efektif, kolaborasi, pemikiran kritis dan adaptability, sebagai alat bagi pembentukan tenaga kerja Negara Brunei Darussalam.

    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima pesambah. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama penduduk dan rakyat Brunei di UK dan Ireland. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Raja Isteri berkenan beramah mesra bersama penduduk dan rakyat Brunei di UK dan Ireland. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan bergambar ramai pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di UK dan Ireland yang berlangsung di Royal Lancaster Hotel, London. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan berangkat bagi Majlis Santap Minum Petang bersama perwakilan penuntut. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan bergambar ramai bersama rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di UK dan Ireland. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Oleh itu, kemahiran-kemahiran seperti ini tidak cuma dipelajari melalui buku-buku teks dan kaedah pembelajaran, akan tetapi juga diperolehi melalui pembelajaran secara informal daripada persekitaran dan pengalaman harian.

    Menyentuh mengenai teknologi, Baginda menyatakan negara memerlukan rakyat yang sentiasa sedar mengenai masa depan, memiliki minda besar dan disiplin yang tinggi serta menguasai teknologi, di mana teknologi pada masa kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan terpenting untuk memperkaya pengalaman dan sebagai alat bantu atau enabler bagi digunakan dengan bijak, sambil tidak mengabaikan kerja keras dan kecekapan diri.

    Untuk itu, para pelajar disarankan supaya menetapkan dengan tegas dan jelas matlamat pembelajaran melalui usaha-usaha gigih dan murni.

    Dalam mengakhiri titah, Baginda Sultan menasihatkan para pelajar untuk menjadi individu yang berintegriti dan mempunyai prinsip moral yang kukuh, kerana di tengah lingkungan yang ada mungkin saja berbeza budaya dan fahaman.

    Justeru itu, setiap pelajar mustahaklah ingat untuk tetap setia kepada nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang dipegang selaku orang Brunei serta tidak terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan dan kesejahteraan diri sendiri.

    Kegiatan yang melibatkan masyarakat setempat memang berbeza dengan apa yang lazim dilaksanakan oleh masyarakat kita. Oleh itu, wajarlah para pelajar menilai risiko dengan mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan diri, tegas Baginda lagi.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke UK dan Ireland, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad dan isteri, Pengiran Datin Noralam binti Pengiran Haji Kahar serta Yang Di-Pertua dan Naib Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di UK dan Ireland (BSU), Awang Muhammad Fadzli bin Haji Adi-Putra @ Adi Putera dan Dayang Aisyah Farhanah binti Nizam Sumurdani.

    Baginda berdua kemudiannya dijunjung menandatangani lembaran kenangan dan berangkat bagi Majlis Santap Minum Petang bersama perwakilan penuntut, sebelum menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu ayat 127 hingga 134 daripada Surah Al-Baqarah oleh Awang Mohammad Wajdi bin Haji Mohammad Ja’afar dari University of Edinburgh, Scotland, manakala inti sarinya dibaca oleh Awang Muhammad Nabil Syahmi bin Norman dari University of the Highlands and Islands, Perth, Scotland.

    Doa Selamat kemudiannya dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Sementara itu, Yang Di-Pertua BSU, dalam sembah alu-aluannya menghuraikan tema majlis iaitu Raja Berwibawa Pewaris Beriltizam yang mencermikan kepimpinan berwibawa Baginda Sultan yang menjadikan rakyat dan penduduk Brunei dapat mengecap kehidupan yang sejahtera, aman dan harmoni.

    Ini meningkatkan iltizam setiap rakyat khususnya penuntut-penuntut Brunei sebagai belia-belia harapan negara untuk terus bersemangat dan komited dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 tanpa mengabaikan prinsip Melayu Islam Beraja (MIB).

    Dalam menjunjung titah Baginda Sultan semasa Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di London pada tahun lalu, BSU telah mengadakan kegiatan-kegiatan yang bertujuan untuk merapatkan silaturahim sesama pelajar, meningkatkan sahsiah, menerapkan identiti keBruneian dan mengamalkan nilai-nilai falsafah MIB.

    Kegiatan-kegiatan ini menjadi medan untuk memperoleh kemahiran, membina jati diri, berkongsi pengalaman, idea dan aspirasi, yang mana ia diharap dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan penuntut-penuntut.

    Persatuan Pelajar Pegawai-pegawai Ugama Brunei (BruROSA) juga giat menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan dalam kalangan penuntut seperti Kem Ibadah, Tadarus dan Khatam Al-Quran. Aktiviti-aktiviti berkenaan adalah bagi membina pengisian rohani dengan nilai-nilai keagamaan dan membantu penuntut-penuntut menjalani kehidupan di perantauan dengan penuh keimanan bagi mendapat keberkatan dan dimudahkan dari segala kesulitan demi mencapai kejayaan yang diidamkan.

    Akhir sekali, Yang Di-Pertua BSU menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan atas peluang, kemudahan, sokongan dan bantuan yang dihulurkan kepada penuntut-penuntut yang mengikuti pengajian di UK dan Ireland termasuk kemudahan yang disediakan seperti kemudahan penginapan di Brunei Hall, penjagaan kebajikan dan kesejahteraan yang sentiasa dititikberatkan oleh kerajaan Baginda.

    Peluang untuk belajar di luar negara sudah setentunya memberikan perspektif yang berbeza dan sebagai rakyat yang beriltizam, pengalaman belajar di sana akan digunakan sepenuhnya untuk menabur bakti kepada bangsa, agama dan Negara Brunei Darussalam pada masa akan datang.

    Pada penghujung acara, Baginda berdua seterusnya berangkat bercemar duli bersama kira-kira 1,200 orang rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di UK dan Ireland, terdiri daripada penuntut-penuntut, pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang sedang dalam percutian.

    Pada majlis itu juga, perwakilan pelajar menyembahkan pesambah Merentasi Sempadan Membina Masa Depan kehadapan majlis Baginda Sultan yang memaparkan gabungan dua buah ikon jambatan iaitu Tower Bridge, UK dan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Negara Brunei Darussalam sebagai simbol bukti semangat kerjasama dan hubungan mesra yang terjalin antara kedua-dua buah negara.

    Manakala pesambah Jambangan Jalinan Makmur disembahkan kehadapan majlis Baginda Raja Isteri yang merupakan jambangan bunga yang digubah daripada kain tenunan tradisional Brunei serta sebagai lambang ikatan persahabatan antara Brunei, UK dan Ireland.

    Majlis juga diserikan dengan persembahan nasyid bertajuk Allahulkaafi oleh gabungan kanak-kanak, remaja dan penuntut-penuntut Brunei yang berada di UK, yang antara lainnya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda