BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Tajuk ‘Vaksin Diri dengan Al-Quran’ telah diketengahkan dalam webinar Quranic Talk siri ke-3 minggu lalu, bagi menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sesi Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk sentiasa bervaksin dengan vaksin ketuhanan.
Bagi siri ketiga itu, Nadi Quranic telah menjemput Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman yang berkongsi pelbagai input dan peringatan untuk selalu berdamping dengan Al-Quran.
“Terkadang kita merasa dekat dengan Al-Quran secara fizikal, mempunyai mushaf di rumah, memiliki aplikasi Al-Quran dalam telefon bimbit, tetapi hakikatnya kita jauh dari ajaran Al-Quran,” ujar beliau.
Selain itu, beliau juga berkongsi kaedah berinteraksi dengan Al-Quran, antaranya dengan mentadabbur Al-Quran, mempelajari sirah Rasulullah SAW dan memahami Bahasa Arab.
Ceramah diakhiri dengan penceritaan beberapa kisah motivasi pembaca dan penghafaz Al-Quran yang pengakhiran hidupnya mendapat husnul khatimah iaitu kematian yang baik.
Menurut kenyataan Nadi Quranic, ilmu yang diperoleh menerusi ceramah itu diharapkan dapat memberi motivasi untuk mengambil Al-Quran sebagai panduan kehidupan.