Friday, July 5, 2024
27.2 C
Brunei

    -

    Jadikan kecemerlangan sumber inspirasi

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Seramai 124 pelajar cemerlang dan 49 guru telah menerima sijil penghargaan masing-masing pada Majlis Penghargaan Pelajar-pelajar dan Guru-guru Cemerlang Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil serta hadiah kepada para pelajar cemerlang dan guru-guru mithali dan Madrasah Mutaqaddimah ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Hardifadillah bin Haji Mohd Salleh.

    Majlis tersebut diadakan untuk meraikan pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun 2023.

    Majlis juga bertujuan untuk mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Salah seorang pelajar cemerlang semasa menerima anugerah daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyampaikan anugerah kepada salah seorang guru cemerlang. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Ia juga diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT serta sebagai pengiktirafan dan insentif kepada pelajar-pelajar yang diraikan atas kecemerlangan yang dicapai, di samping sebagai motivasi kepada pelajar-pelajar lain supaya akan terus mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.

    Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh murid-murid dari Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Mohammad Zawawi bin Haji Mohamad Zul’izzi dan Awang Muhd Syamil bin Haji Kamarul Azzam.

    Acara diteruskan dengan ucapan Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar selaku pengerusi majlis yang menyatakan harapan agar acara tersebut dapat menjadi pendorong kepada guru penerima lebih proaktif dalam tugasan mereka dan menjadi sumber inspirasi kepada guru-guru lain ke arah perkhidmatan pendidikan yang berkualiti, penuh dedikasi, kreatif dan inovatif.

    Beliau turut mengongsikan daripada 124 pelajar yang cemerlang itu, 10 pelajar terbaik dalam STPUB; tiga pelajar terbaik dalam Brunei Cambridge GCE (BC GCE) Peringkat A; 10 pelajar terbaik dalam Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB); seorang pelajar terbaik dalam BC GCE Peringkat O; 50 pelajar terbaik dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) dan 50 pelajar terbaik dalam kalangan pelajar sekolah Arab bagi Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

    Manakala bagi guru-guru, lapan guru bagi Peperiksaan STPUB; lapan guru bagi Pra-STPUB; sembilan guru bagi SPUB, lapan guru bagi BC GCE Peringkat O; seorang guru bagi mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam dalam BC GCE Peringkat O; 10 guru bagi SSSRU Darjah 6 dan lima guru bagi PSR.

    Selain itu, dua buah sekolah iaitu sebuah dari sekolah Arab dan sebuah dari sekolah agama menerima Anugerah Madrasah Mutaqaddimah.

    Anugerah tersebut merupakan salah satu inisiatif atas pencapaian tertinggi kedua-dua buah sekolah berkenaan dalam Penilaian Keseluruhan Sekolah yang dihasratkan akan dapat menjana dan menjamin penyediaan pendidikan agama yang berkualiti dan tadbir urus persekolahan yang berkesan.

    Semasa temu bual dengan penerima sijil penghargaan iaitu Guru Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, Dayang Nurul Aima binti Zaini menyatakan rasa amat bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah guru cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan Pra-STPUB 2023.

    “Saya bangga melihat para pelajar berusaha dan berkeyakinan untuk memajukan prestasi diri khususnya dalam pembelajaran,” katanya sambil mengongsikan beberapa tip untuk mencapai kejayaan.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan Puisidra, Kita Terus Berjalan daripada pelajar-pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Awang Abdul Razak bin Haji Mohd Daud.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...