Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jadikan kejayaan beregu lelaki, wanita pemangkin semangat’

    KUALA LUMPUR, 27 JUN – Kem beregu campuran Malaysia perlu menjadikan kejayaan dilakar beregu lelaki dan wanita negara sebagai motivasi untuk merangkul gelaran diidamkan tahun ini.

    Ketua jurulatih beregu campuran Malaysia, Nova Widianto, berkata beliau sememangnya mahu melihat anak buahnya meraih sekurang-kurangnya satu gelaran juara sebelum

    Kejohanan Dunia 2025 berlangsung di Paris bermula 25 hingga 31 Ogos ini.

    “Beregu lelaki dan wanita sudah okey… hanya sektor beregu campuran (skuad kebangsaan) yang belum dapat kejuaraan tahun ini.

    “Mudah-mudahan kita dapat hasil yang maksimum dan boleh juara satu daripada kejohanan di Terbuka Jepun 2025 atau Terbuka China 2025 nanti,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan hari ini.

    Nova Widianto ketika ditemubual selepas sesi latihan skuad Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada 9 Mei. – Bernama

    Terbuka Jepun 2025 dijadual berlangsung dari 15 hingga 20 Julai di Tokyo manakala Terbuka China 2025 pula pada 22 hingga 27 Julai di Changzhou.

    Bekas juara beregu lelaki dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik telah merangkul tiga gelaran musim ini bermula dengan Kejohanan Badminton Asia 2025 April lepas, diikuti dua lagi kejayaan pada Terbuka Thailand 2025 dan Terbuka Singapura 2025 bulan lepas.

    Rakan senegara mereka, Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga telah menjulang dua gelaran tahun ini iaitu Masters Indonesia pada Januari dan Masters Malaysia, bulan lalu. Beregu wanita nombor satu Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah pula menjuarai Terbuka Thailand dan naib juara sebanyak dua kali pada Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia, awal bulan ini.

    Sementara itu, Nova berpuas hati dengan perkembangan positif dipamerkan gandingan utama Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terutamanya dari aspek komunikasi antara mereka selepas disatukan semula April lepas.

    “Mereka sudah tiada masalah dan nampak semakin seronok.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda