Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jadikan kluster Pasai sebagai pengajaran elak sambut Gawai

    KUCHING, 31 MEI – Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas meminta komuniti Dayak di negeri ini menjadikan Kluster Pasai sebagai pengajaran untuk tidak pulang ke rumah panjang atau kampung mereka semasa perayaan Gawai tahun ini yang bakal disambut esok.

    Beliau berkata kluster di daerah Sibu itu yang dikategorikan kes Import B iaitu membabitkan aktiviti rentas negeri dan majlis pengebumian, muncul sebagai kluster yang menjadi penyumbang utama kes di negeri ini sehingga mencecah 2,963 kes dengan 29 kematian.

    “(Berikutan kes-kes ini), saya memohon kepada komuniti Dayak, tolong jangan pulang ke rumah panjang dan kampung anda tahun ini. Bagi mereka yang berada di rumah panjang dan kampung, jangan mengadakan perhimpunan, ‘rumah terbuka’ dan ‘ngabang’. Patuhi SOP (prosedur operasi standard) sambutan Gawai dengan penuh keyakinan, disiplin dan tanggungjawab,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Gawai.

    Menurut Uggah, sebanyak 634 rumah panjang di seluruh Sarawak telah dikenakan perintah sekatan dengan 3,894 kes positif direkodkan setakat ini dan pihak berkuasa kesihatan melihat bahawa rantaian penyebaran jangkitan itu dikesan daripada perhimpunan sosial seperti pengebumian, perkahwinan, perayaan ulang tahun, gotong-royong dan aktiviti sabung ayam. – Bernama

    Penjawat awam Monica Gerry (dua, kiri) dan kakaknya Marilyn Gerry, 31, (kiri) yang menetap di Kuching berhubung dengan sepupu mereka, Amanda Nayra, 32, (kanan) dan Catohrinner Nayra, 30, (dua, kanan) yang berada di Sri Aman, melalui panggilan video di telefon bimbitnya ketika masyarakat Dayak di Sarawak bersedia untuk menyambut perayaan Hari Gawai hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda