Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Berniaga adalah usaha mencari rezeki menguntungkan, sebab itu, Islam amat menggalakkan agar umatnya menjadi peniaga untuk merebut peluang keuntungan itu.
Untuk menjadikan perniagaan itu berkat di sisi Allah SWT, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan, antaranya niat yang ikhlas kerana Allah, bangsa dan negara dan banyak lagi yang dibenarkan dalam Islam.
Perkara berkenaan adalah antara kan-dungan tazkirah Subuh sempena Program Masjidku Makmur Negara Berkat bagi minggu ini bertajuk ‘Mencari Keberkatan dalam Perniagaan’ yang disampaikan oleh Dai’e Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah.
Turut hadir mendengarkan tazkirah itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap (Pelaburan) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Program di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pada minggu ini dikelolakan bersama oleh KHEU dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dengan sokongan JPM.
Ia merupakan satu program mingguan dan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah pada awal waktu di masjid.
Makmurnya masjid-masjid di negara ini adalah antara landasan bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah SWT bagi diri, keluarga dan juga negara.
